Resepi Ayam Bakar Barbeque (BBQ), Sesuai Untuk Acara BBQ Keluarga
Bahan-bahan Ayam Bakar BBQ
- 1 ekor ayam
- 3-5 biji bawang merah
- 5-7 ulas bawang putih
- 2-4 batang serai
- 1 inci halia
- 2 sudu besar serbuk cili
- 2 sudu kecil serbuk kunyit
- 1-2 sudu besar serbuk jintan manis *
- 1-2 sudu kecil serbuk jintan manis *
- 1-2 sudu kecil serbuk ketumbar *
- sedikit minyak
- garam
- gula
-
1 Collapse
Cara memasak Ayam Bakar Barbeque (BBQ)
- 1. Potong ayam kepada saiz sederhana iaitu potongan 8 atau potongan 12. Semasa anda membeli ayam, anda boleh pesan kepada penjual ayam untuk potong terus kepada potongan 8 atau 12.
- 2. Basuh ayam yang dipotong tadi sehingga bersih, kemudian bilas dan keringkan dahulu air. Ketepikan ayam sementara anda menyediakan bahan perapan pula.
- 3. Kisar kesemua bahan-bahan di atas kecuali ayam. Sebelum mengisar, anda boleh masukkan sekali sedikit minyak masak bersama bahan-bahan yang lain. Minyak masak dapat membantu bahan perapan melekat ke bahagian luar ayam. Anda juga boleh tambahkan sedikit air supaya bahan yang dikisar mudah hancur.
- 4. Sediakan satu bekas besar yang boleh memuatkan kesemua bahagian ayam. Jika tiada, anda boleh menggunakan 2 bekas yang berasingan. Masukkan bahan yang telah dikisar tadi kedalam bekas tersebut dan seterusnya masukkan ayam.
- 5. Gaul ayam dan bahan perapan tadi sehingga kesemua bahagian ayam dilumuri. Ini penting supaya rasa bahan perapan meresapi kedalam isi ayam anda nanti. Barulah ayam yang anda bakar nanti lazat dan enak.
- 6. Perap ayam dalam jangkamasa paling kurang 1 jam. Untuk memastikan rasa bahan perapan betulbetul meresap, anda disarankan perap selama semalaman di dalam peti sejuk.
- 7. Setelah ayam selesai diperap, anda bolehlah mula membakar. Ayam Bakar Barbeque biasanya dibakar menggunakan dapur arang. Rasa asap arang dan bahagian luar ayam yang garing terbakar membantu anda menghasilkan Ayam Bakar Barbeque yang sempurna. Namun begitu, anda juga boleh membakar menggunakan ketuhar(oven) ataupun pemanggang ajaib.
- 8. Bakar ayam anda sehingga bahagian isi luar ayam sedikit garing terbakar. Untuk memastikan ayam anda betul-betul masak, cuba hiris ayam sehingga ke bahagian isi dalam. Jika cecair ayam jernih dan isi ayam putih keseluruhanya, itu menandakan ayam anda sudah masak sempurna. Tetapi jika isi ayam masih kemerahan dan cecair isi ayam sedikit pink, tambahkan lagi tempoh membakar.
- 9. Setelah ayam bakar anda masak, letakkan didalam bekas yang bersesuaian. Elakkan menggunakan bekas plastik bagi mengelakkan bekas tersebut mencair jika terkena ayam bakar yang panas.
- 10. Hidangkan ayam didalam bekas yang bersesuaian. Selamat menjamu selera!
Tercari-cari resepi Ayam Bakar Barbeque(BBQ) untuk acara barbeque anda? Resepi yang tepat penting untuk anda hasilkan rasa ayam bakar yang sedap menjilat jari. Lebih-lebih lagi bila berkumpul ramai-ramai bersama keluarga ataupun rakan-rakan anda, ayam bakar yang enak mampu menjadikan acara anda lebih meriah.
Terdapat pelbagai resepi ayam bakar yang popular di Malaysia. Antara yang paling menjadi kegemaran ialah Ayam Bakar Madu, Ayam Bakar Berempah dan Ayam Bakar Simple. Kadang-kadang pening juga hendak memilih ayam bakar mana untuk dijadikan menu. Bagi acara berkumpul ramai-ramai, Ayam Bakar Barbeque sesuai untuk majlis sebegini.
Jom kami kongsikan satu lagi koleksi resepi ayam yang boleh anda cuba iaitu Resepi Ayam Bakar Barbeque. Kalau kena cara anda buat perapan, sekejap je laris ayam bakar anda disantap. Langkah menyediakan ayam bakar ini tidaklah rumit. Anda hanya perlu meyediakan ayam dan bahan perapan, perap dalam tempoh yang ditetapkan, kemudian bakar. Senangkan?
Tapi, untuk menghasilkan ayam bakar yang menambat selera, bahan-bahan yang digunakan sebagai perapan menjadi kunci utama. Gabungan rasa rempah, pedas dan cukup rasa masinnya ditambah pula dengan kaedah membakar yang betul, mampu membuatkan ayam bakar anda menjadi buah mulut para tamu. Untuk senarai bahan-bahan, anda boleh ke bahagian resepi dibawah.
Ayam Bakar BBQ biasanya dipanggang dalam saiz sederhana besar. Semasa anda membeli ayam, anda boleh terus beritahu penjual ayam untuk potong kepada saiz potongan 8 ataupun 12. Beritahu juga anda ingin gunakan ayam tersebut untuk dibakar. Biasanya penjual ayam lebih arif tentang potongan ayam bagi kaedah memasak tertentu. Tetapi jika hidangan anda untuk jumlah yang ramai, anda boleh potong kepada bahagian yang lebih kecil supaya semua orang dapat menikmati ayam bakar anda nanti.
Untuk bahan perapan pula, anda perlu mengisar kesemua bahan-bahan bersama. Jika saiz pengisar anda agak kecil, memadai untuk anda mengisar bawang merah, bawang putih, halia dan juga serai. Tambahkan sedikit air supaya bahan dikisar lumat lebih mudah. Jika bahan yang bertanda "*" bukan dalam bentuk serbuk, anda boleh kisar bersama dengan bahan-bahan tadi. Anda juga boleh tambahkan sedikit minyak masak sebelum mengisar bagi memudahkan bahan perapan melekat bersama ayam dan ayam yang dibakar juga tidak mudah kering.
Letakkan bahan yang dikisar dan bahan-bahan lain didalam bekas yang besar untuk memuatkan ayam nanti. Gaul kesemua bahan sehingga sebati. Pastikan kesemua bahagian ayam dilumuri bahan perap supaya rasa bahan perapan meresap sampai kebahagian isi dalam ayam. Barulah enak rasa ayam anda nanti. Anda juga boleh perap ayam didalam plastik zipper bag. Kaedah ini mempercepatkan lagi rasa perapan meresap kesemua isi dalam ayam. Tetapi jika anda menggunakan bekas biasa, pastikan bekas ditutup rapat semasa proses perapan.
Untuk mendapatkan rasa yang betul-betul lazat, anda disarankan perap ayam semalaman didalam peti sejuk. Tapi jika anda kesuntukan masa, anda boleh perap ayam dalam tempoh 30 minit hingga satu jam. Anda boleh cucuk-cucuk isi ayam dengan garpu bagi mempercepatkan bahan perapan meresap.
Setelah selesai proses perapan, ayam sudah boleh dibakar. Ayam bakar bbq ini sesuai dibakar menggunkan dapur arang. Rasa asap dapur arang dan isi luar ayam yang garing terbakar menambahkan lagi keaslian rasa ayam bakar anda nanti. Namun begitu, jika anda menghadapi kekangan untuk menggunakan dapur arang, kaedah pembakaran seperti ketuhar(oven) dan juga pemanggang ajaib juga boleh digunakan. Untuk pengguna ketuhar, suhu yang dicadangkan bergantung kepada saiz ayam anda dan juga jenis bahagian ayam yang hendak dibakar. Suhu yang biasa digunakan ialah sekitar 180 - 200 darjah celsius dan dibakar selama 20-25 minit.
Bakar ayam anda sehingga bahagian isi luar ayam garing terbakar dan sedikit putih keperangan. Untuk memastikan bahagian dalam ayam betul-betul masak, anda boleh hiris sedikit ayam sehingga ke isi dalam. Jika cecair isi ayam agak jernih dan warna isi ayam menjadi putih, ia menandakan ayam anda dudah dibakar sempurna. Tambahkan tempoh membakar jika isi dalam ayam anda sedikit kemerahan dan cecair isi ayam sedikit pinkish.
Api perlu dijaga dengan baik bagi mengelakkan ayam anda daripada cepat hangus dibahagian luar dan tidak masak dibahagian dalam. Balik-balikkan ayam supaya kesemua bahagian dibakar sempurna. Tetapi jangan terbalikkan ayam terlalu kerap bagi mengelakkan ayam menjadi terlalu kering dan tidak enak untuk dimakan. Lumur ayam dengan baki bahan perapan bagi mengelakkan ayam menjadi kering.
Sediakan bekas yang sesuai untuk mengisi ayam yang baru masak. Elakkan mengguna bekas plastik yang mudah mencair kerana ayam bakar yang baru diangkat masih terlalu panas dan ia mampu mencairkan bekas anda nanti. Ayam anda sedia untuk dihidang.
Sebelum anda mula memasak, apa kata anda kongsikan resepi ini dengan orang terdekat anda melalui Whatsapp ataupun Facebook, senang nanti untuk anda memastikan semua bahan anda berjaya didapati.
Jom semak bahan-bahan yang anda perlukan.