Jom Cuba Resepi Ayam Masak Bali, Anda Pasti Suka!

12 June 2023 905
Resepi Ayam
Resepi Ayam Masak Bali
Ayam Masak Bali

Hai semua! Hari ini kami ingin kongsikan satu resepi yang lain sikit dari masakan yang biasa anda masak. Resepi Ayam masak Bali adalah resepi yang jarang orang masak, tapi rasanya sangat sedap dan kaya dengan aroma rempah ratus.

Rasa ayam masak bali ini lebih kurang sama dengan ayam masak kicap, tetapi rasanya lebih kaya dengan  rempah ratus kerana bahan yang digunakan terdiri daripada daun kari dan juga serai.

Cara masak ayam masak bali ini pun tak jauh bezanya dengan cara masak ayam kicap ataupun ayam masak merah.

Anda boleh makan masakan ini dengan nasi putih ataupun dengan nasi minyak. Sangat sesuai untuk djadikan sebagai lauk makan tengahari. Anda boleh padankan masakan ini dengan acar timun, sambal belacan dan juga ulam-ulaman.

Jadi, anda mesti cuba resepi ini kerana cara masaknya tidaklah asing bagi anda. Jangan lupa tambahkan resepi ini kedalam senarai koleksi resepi ayam anda. Ia juga merupakan sejenis masakan ayam berkuah.

Jom tengok senarai bahan yang anda perlukan dan juga cara memasak Ayam Masak Bali ini.

Bahan-bahan Resepi Ayam Masak Bali

  • 1 ekor ayam
  • Serbuk kunyit secukupnya
  • Garam
  • 3-5 batang serai, diketuk
  • 2-4 sudu besar kicap masin
  • 4-6 tangkai daun kari, ambil daun
  • gula melaka

Bahan Kisar

  • 5-8 biji bawang merah
  • 2-3 biji bawang besar holland
  • 6-8 ulasa bawang putih
  • 1 inci halia
  • 10-15 tangkai cili kering, potong basuh dan rebus
  • 1 Collapse

    Cara buat Ayam Masak Bali sedap


    • 1. Sediakan dahulu semua bahan yang diperlukan, barulah lancar proses memasak anda nanti.
    • 2. Potong ayam kepada saiz sederhana besar, atau mengikut saiz yang anda suka. Basuh bersih, bilas dan toskan airnya. Kemudian gaulkan ayam dengan serbuk kunyit dan sedikit garam, lumur sehingga sekata.
    • 3. Panaskan minyak didalam kuali untuk menggoreng ayam. Gunakan kuantiti minyak yang bersesuaian supaya ayam masak dengan sekata. Goreng ayam sehingga hampir garing. Jangan terlalu masak nanti ayam sedikit keras. Setelah masak, angkat dan toskan dahulu minyak ayam.
    • 4. Dengan menggunakan kuali dan minyak yang sama, anda boleh mula menumis serai dan daun kari. Anda boleh kurangkan sedikit minyak jika kuantitinya terlalu banyak. Tumis serai dan daun kari sehingga layu.
    • 5. Seterusnya masukkan bahan kisar. Tumis sehingga masak dan pecah minyak.
    • 6. Kemudian masukkan kicap secukupnya sehingga warna kuah sedikit gelap. Jangan terlalu banyak nanti terlebih rasa. Anda boleh perasakan dengan sedikit garam, gula melaka dan juga serbuk perasa sehingga dapat rasa yang anda mahukan.
    • 7. Setelah rasa sudah sempurna, anda sudah boleh masukkan ayam. Kacau dan gaul ayam dengan kuah sehingga sebati dan sekata.
    • 8. Sekiranya anda sudah berpuas hati dengan rasa dan ayam pun sudah masak sekata, masakan sudah boleh diangkat. Selamat menjamu selera!

Tips dan Petua menyediakan Ayam Masak Bali

Kami ingin kongsikan tips dan petua bagi memastikan masakan ayam bali anda lazat dan memukau. Ini antaranya :

  1. Pilih ayam yang berkualiti: Gunakan ayam yang segar dan baik. Kalau boleh gunakan ayam yang baru dibeli berbanding ayam yang telah lama disimpan didalam peti. Tapi jika tiada, anda boleh gunakan ayam yang anda ada.

  2. Potong ayam sekata dan seragam: Potong ayam kepada saiz yang lebih kurang sama. Ia penting bagi memastikan ayam dimasak sempurna dan sekata semuanya.

  3. Bawang dikisar lumat: Bawang hang dikisar lumat akan menghasilkan kuah yang pekat dan cantik. Rasa kuah anda lagi sedap dan beraroma.

  4. Jaga api: Pastikan anda masak dengan api yang sederhana bagi mengelakkan bahan tumis cepat kering dan hangus. Bahan yang hangus akan hasilkan rasa yang pahit.

  5. Gaul ayam: masak dan gaul ayam sehingga sebati dan sekata. Ini dapat membantu rasa kuah meresap ke dalam isi ayam. Nanti rasa ayam anda lebih enak dan lazat.

Manfaat dan alternatif bagi setiap bahan

Sambil anda memasak tu, jom tengok apa manfaat dan khasiat setiap bahan yang anda gunakan. Selain itu, kami kongsikan cadangan alternatif bagi bahan yang digunakan jika anda ketiadaan bahan tersebut:

  1. Ayam: Ayam adalah bahan utama dalam hidangan ini. Ia memberikan protein yang penting dalam pemakanan dan memberikan tekstur serta rasa yang enak kepada hidangan. Jika tiada ayam, anda boleh guna daging, sotong dan juga udang.

  2. Bawang putih: Bawang putih memberikan aroma dan rasa yang enak kepada hidangan. Ia juga mempunyai sifat antimikrobial dan antioksidan yang memberikan manfaat kesihatan. Jika tiada, guna bwang merah sahaja pun tidak mengapa.

  3. Bawang merah: Bawang merah memberikan rasa manis-manis yang lembut dan aroma yang harum kepada hidangan. Ia juga mengandungi antioksidan dan zat-zat yang baik untuk sistem imun. Anda boleh gantikan bawang merah dengan bawang besar bombay ataupun bawang besar holland.

  4. Serai: Serai membangkitkan aroma dan kesegaran masakan anda. Ia juga mempunyai sifat antimikrobial dan anti-radang yang baik untuk kesihatan.

  5. Daun kari: Daun kari memberikan aroma yang wangi dan bau kari. Merupakan rempah ratus yang telah digunakan zaman-berzaman.

  6. Cili kering: Cili kering memberikan sensasi rasa pedas yang menyelerakan. Ia juga boleh meningkatkan metabolisme dan memberikan manfaat untuk sistem pencernaan. Anda boleh gantikan dengan cili kisar.

  7. Gula melaka: Gula melaka memberikan rasa manis yang lebih enak berbanding gula biasa. Ia juga mengandungi zat besi dan nutrien lain yang memberikan manfaat kesihatan. Anda boleh gantikan dengan gula perang ataupun gula putih biasa.

  8. Garam: Garam amat penting untuk badan kita. Penggunaan garam yang bersesuaian juga penting untuk keseimbangan elektrolit dalam badan.

Setiap bahan dalam resepi Ayam Masak Bali mempunyai kepentingan yang tersendiri,selain kaya dengan rasa dan aroma, ia juga mempunyai manfaat kesihatan yang baik. 

Sebab kenapa anda kena cuba Resepi Ayam Masak Bali

Anda harus mencuba resepi Ayam Masak Bali ini kerana ia memberikan pengalaman rasa masakan yang baru bagi anda. Berikut adalah beberapa alasan mengapa anda perlu mencuba resepi ini:

  1. Kaya Rasa: Ayam Masak Bali menggabungkan rempah-rempah tradisional dengan rasa pedas yang menggigit dan manis yang lazat. Gabungan bahan seperti bawang putih, bawang merah, serai, dan daun kari menghasilkan masakan yang kaya dengan rasa yang unik.

  2. Aroma yang Menggoda: Ketika memasak Ayam Masak Bali, aroma harum rempah akan memenuhi dapur anda. Aroma yang sedap ini akan membuka selera dan membuatkan keluarga anda tak sabar nak makan.

  3. Mudah Disediakan: Resepi Ayam Masak Bali ini mudah untuk dicuba dan tidak memerlukan kemahiran memasak yang tinggi. Anda dapat menyediakan hidangan ini di rumah dengan mudah menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati.

  4. Menu yang sempurna:Anda boleh jadikan masakan ini sebagai lauk makan tengahari dan juga makan malam. Selain itu, anda boleh padankan dengan nasi minyak.

Resepi alternatif dan setaraf

Kalau anda rasa resepi ini tidak begitu kena dengan selera anda ataupun anda tidak mempunyai bahan yang lengkap, anda boleh cuba resepi lain yang setaraf dengan ayam masak bali ini. Antaranya:

  1. Ayam Masak Merah: Anda boleh menggunakan resepi Ayam Masak Merah sebagai alternatif kepada Ayam Masak Bali. Walaupun cara memasak yang hampir sama, ayam masak merah menggunakan bahan yang agak berlainan sikit.

  2. Ayam Masak Kicap: Ayam Masak Kicap adalah hidangan ayam yang dimasak dengan kicap manis, sos tiram, dan rempah yang memberikan rasa manis dan enak kepada masakan. Cara masak pun sama, bezanya tidak menggunkan serai dan juga daun kari.

  3. Ayam Masak Rendang: Rendang ayam menggunkan serai dan juga daun kari, namun cara masak dan rasanya jauh berbeza.

  4. Kari Ayam: Jika anda menyukai hidangan berkuah, anda boleh mencuba Ayam Masak Kari. Hidangan ini menggunakan rempah kari yang kaya dengan rasa rempah dan santan yang memberikan hidangan yang lazat.

  5. Ayam Masak Halia: Resepi Ayam Masak Halia pun sedap juga jika anda nak cuba. Resepi yang digemari ramai terutamanya anak-anak kecil.

Jom Kongsikan Dengan Semua Orang

Kongsikan keenakan rasa Ayam Masak Bali yang sedap dan lazat ini dengan keluarga dan rakan rakan anda. Share dan tag mereka di Facebook dan juga twitter. Kongsikan juga di group whatsapp , mesti tak sabar mereka nak rasa hasil air tangan anda.